Friday, March 21, 2008

Siapa di Sana?


Malam ini ibu dan ayahku pergi ke kelas tafsir Al-quran. Mereka mengajakku mengikuti mereka. Aku menolak kerana pada keesokan harinya aku mempunyai ujian Sejarah. Akhirnya aku tinggal bersama abangku di rumah.

Cikgu sejarahku telah memberi topik-topik yang kami perlu pelajari untuk ujian bulanan ini, jadi aku hanya perlu membaca dan memahami peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sahaja. Ketika aku sedang mengulangkaji dengan penuh konsentrasi, abangku memberitahuku dia hendak keluar ke rumah kawannya seketika. Maknanya aku akan tinggal berseorangan di rumah tetapi aku yang tidak mahu diganggu hanya mengangguk setuju. Abangku mengingatkanku untuk mengunci pintu rumah sebaik sahaja dia melangkah keluar.

Selepas aku mengunci rumah, aku terus menuju ke arah dapur. Aku keluar dari dapur dengan stok makanan ringanku. Sebungkus keropok ‘Lays’, beberapa biji gula-gula, dua batang coklat Kitkat dan sekotak air Milo. Aku tersenyum gembira sambil menaiki tangga dengan cermat supaya makananku tidak jatuh.

Ketika aku sedang menaiki tangga, telefon rumahku berdering-dering. Telefon rumahku terletak di ruang tamu. Aku berasa malas untuk turun kembali dengan makanan ringanku, jadi aku menyusunnya kemas-kemas di tepi tangga. Selepas itu aku turun ke bawah dan berlari anak ke arah ruang tamu. Aku mengangkat gagang dan memberi salam, tetapi taliannya senyap dan beberapa saat kemudian terputus. Sangkaku talian terputus dengan tidak sengaja, aku meletak gagang kembali. Aku menyambung misi membawa makanan ringanku ke atas.

Setibanya aku di bilikku, aku meletakkan makananku di atas meja bersebelahan buku sekolahku. Aku duduk di atas kerusi dan menyelak ke muka surat yang kubaca tadi. Tiba-tiba telefon rumahku berbunyi sekali lagi, aku mengeluh sambil bangun dari kerusiku. Aku turun ke bawah. Sekali lagi aku mengangkat gagang, tetapi kali ini talian terus terputus. Aku meletak gagang dengan kasar. Aku memutuskan untuk menunggu, mungkin telefonku akan berdering lagi. Sambil menunggu, rumahku tiba-tiba terasa begitu sunyi. Bulu romaku meremang. Baru semalam aku menonton cerita seram bersama keluargaku. Aku mula membayangkan perkara yang bukan-bukan. “Kringggg!!!!!!” jantungku hampir terhenti mendengar deringan telefon rumahku! Aku menguatkan semangat dan menunggu untuk beberapa saat, perlahan-lahan aku mengangkat gagang. Aku hampir menjerit kegembiraan apabila aku mendengar suara abangku. Katanya dia hendak pergi ke kedai Seven-eleven yang berdekatan dengan rumahku dulu baru pulang ke rumah. Aku menghembus nafas tanda lega. “Kenapa call sampai tiga kali?” tanyaku padanya. “Eh, tak panggil pun tadi. Baru sekali.” jawab abangku. Jadi siapa yang memanggil tadi?

Liyana, 4B

2 comments:

ChikCharm said...

Seramnya cerita. Anda bijak membawa pembaca bersama berada dalam penceritaan ini. Suatu karya yang menarik. Persoalannya, siapakah pemanggil berkenaan? Rasa-rasanya Liyana sudah ada peminat rahsia. Macam artis!

lyanakamarul said...

Ya terima kasih!
Saya memang terkenal.
Taklah.. Tapi ia memang pernah betul-betul berlaku..