Malam ini malam hujung minggu, ayahku membawa kami sekeluarga ke sebuah restoran di tengah kota. Memang kebiasaan ayahku membawa kami keluar beramai-ramai jika berkesempatan. Katanya waktu inilah kami bersama-sama berkongsi cerita. Aku hanya menurut, sekurang-kurangnya aku berpeluang untuk makan di luar. Ini juga bermakna ibuku tidak perlu memasak dan aku juga tidak perlu mengupas bawang merah dan menangis seperti menonton filem sedih.
Ayahku memilih sebuah restoran yang terkenal dengan tomyamnya. Aku amat menyukai restoran ini. Restoran ini bertema Bali. Pokok-pokok hijau yang menjalar mencipta suasana yang nyaman. Kami memilih meja di luar yang terletak berdekatan dengan kolam ikan. Sambil kami menikmati makanan, deruan air dapat didengari dan sesekali terasa angin malam yang bertiupan.
Tetapi kami menikmati suasana tersebut hanya untuk beberapa minit kerana selepas itu kami hanya ‘menikmati’ asap rokok yang berkepul-kepul. Rupanya pemuda-pemuda yang duduk berdekatan meja kami sedang menghisap rokok. Asap mereka menghala tepat-tepat ke arah kami. Rasanya seperti menelan asap rokok apabila aku membuka mulutku. Hendak berpindah ke meja lain, kami sudah mula makan. Mahu tidak mahu kami habiskan makanan kami dengan cepat. Aku yang terkenal sebagai orang yang mengambil masa paling lama untuk menghabiskan makanan kini habis sewaktu dengan abang-abangku (satu pencapaian yang membanggakan!). Malangnya kami tidak dapat berbual-bual seperti biasa.
Pada pandanganku, dari segi undang-undang memang mereka tidak melakukan kesalahan. Tetapi bukankah Malaysia merupakan negara yang berbudi bahasa dan beretika? Atau adakah ini hanya sesuatu yang kita sebut-sebut tetapi tidak pernah diamalkan? Mereka patut menghormati orang lain di sekeliling mereka. Perlukah merokok pada waktu makan juga? Tidak bolehkah mereka tidak merokok untuk beberapa jam? Sebenarnya perkara seperti ini dapat dielakkan. Segalanya terletak kepada kesedaran kita sendiri. Kita mampu mengubahnya.
Liyana, 4B
2 comments:
Masyarakat kita masih rendah tahap kesedaran sivik nampaknya. Saya amat bersimpati kerana kehilangan selera makan anda. Tambahan ketika usaha sedang berusaha untuk meningkat berat badan.
ye! saya bersetuju dengan ustaz kita yang berkaca mata berkilat lagi tampan itu! gemukkan diri anda mak cik kodeng..!
Post a Comment