Sunday, March 30, 2008

Seni Fotografi

Lensa kamera yang tercipta banyak kegunaannya. Syukurlah kepada Allah kerana memberi ilma kepada hambanya untuk mereka kamera.

Untuk apa gunanya? Mengambil gambar diri sendiri, bersama teman, atau dengan seseorang yang masyhur. Mengambil gambar peristiwa atau aktiviti untuk dijadikan kenangan pada masa hadapan, untuk ditunjukkan kepada anak cucu kelak... Kamera juga digunakan di dalam kerja seperti mengambil gambar bakteria atau virus penyakit untuk didiagnos atau gambar mayat atau bahan bukti.

Aku pula? Ada kalanya aku terasa mengada, beberapa gambar aku dan rakan-rakan diambil, pabila berasa gila, segalanya aku ambil, tong sampah, botol vitagen dan pelbagai benda lain. Tetapi, aku sering mengambil gambar sekeliling untuk menghargai kebesaran Allah yang mencipta segalanya. Sawah padi, bunga, semut api yang cuba mengangkat daun atau apa-apa sahaja, lensa kamera yang terletak di belakang telefon K800i aku sentiasa digunakan.

Amalina, 4C

Erti Ibadatku

Masjid Mu'az bin Jabar tersergam indah di hadapan mataku. Lalu aku melangkah masuk ke dalam rumah Allah yang Maha Kaya. Sungguhpun dapat kulihat ramai hamba Allah yang menyerahkan diri kepada pencipta mereka, tiada satu pun yang bersuara, begitu khusyuk membaca kata-kata cinta daripada yang Maha Penyayang agaknya.

Hatiku tiba-tiba terasa sebak melihat cinta hamba-hambaAllah terhadap pencipta mereka. Entah, mungkin kerana cintaku terhadapNya tidak sedalam cinta mereka, khusyukku tidak sekhusyuk mereka dan ibadatku tidak sebanyak ibadat mereka.

Hatiku terasa berat. Betapa hinanya aku ini, tidak berterima kasih kepadaNya setelah apa yang telah dikurniakan. Begitu banyak dosa yang telah kubuat, tidak layak rasanya kesua kakiku bertapak di atas bumi Allah yang ternyata beriman kepadaNya.

Aku berharap aku dapat menjadi seperti mereka kelak, sebelum mataku pejam.

Amalina, 4C

Patung Beruang

Namanya Mr Teddy. Telah banyak pengalaman yang telah aku kongsi bersamanya. Dia mengetahui segalanya tentang diriku. Setiap malam dia mendengar rintihan hatiku.

Ketika aku sedih, dia lah yang menjadi pengesat air mataku. Ketika aku marah, dialah yang menjadi mangsa deraku. Ketika aku berasa gembira, dialah yang akan kupeluk kuat.

Aku dapat menghidu baunya apabila memeluknya. Seakan-akan bau itu memberitahuku bahawa dia juga merasanya, perasaan yang dirasai diriku, dan segalanya akan pulih semula.

Dia akan menjadi salah satu ciptaan yang akan menjadi saksi kepada diriku pada Hari Akhirat nanti. Aku akan menjaganya dengan baik supaya dia akan mengatakan perkara yang baik tentang diriku nanti.

Dialah temanku, dialah yang kubenci, dialah yang kusayangi, dialah yang kucari, dialah patung beruangku.

Amalina, 4C

Friday, March 21, 2008

Siapa di Sana?


Malam ini ibu dan ayahku pergi ke kelas tafsir Al-quran. Mereka mengajakku mengikuti mereka. Aku menolak kerana pada keesokan harinya aku mempunyai ujian Sejarah. Akhirnya aku tinggal bersama abangku di rumah.

Cikgu sejarahku telah memberi topik-topik yang kami perlu pelajari untuk ujian bulanan ini, jadi aku hanya perlu membaca dan memahami peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sahaja. Ketika aku sedang mengulangkaji dengan penuh konsentrasi, abangku memberitahuku dia hendak keluar ke rumah kawannya seketika. Maknanya aku akan tinggal berseorangan di rumah tetapi aku yang tidak mahu diganggu hanya mengangguk setuju. Abangku mengingatkanku untuk mengunci pintu rumah sebaik sahaja dia melangkah keluar.

Selepas aku mengunci rumah, aku terus menuju ke arah dapur. Aku keluar dari dapur dengan stok makanan ringanku. Sebungkus keropok ‘Lays’, beberapa biji gula-gula, dua batang coklat Kitkat dan sekotak air Milo. Aku tersenyum gembira sambil menaiki tangga dengan cermat supaya makananku tidak jatuh.

Ketika aku sedang menaiki tangga, telefon rumahku berdering-dering. Telefon rumahku terletak di ruang tamu. Aku berasa malas untuk turun kembali dengan makanan ringanku, jadi aku menyusunnya kemas-kemas di tepi tangga. Selepas itu aku turun ke bawah dan berlari anak ke arah ruang tamu. Aku mengangkat gagang dan memberi salam, tetapi taliannya senyap dan beberapa saat kemudian terputus. Sangkaku talian terputus dengan tidak sengaja, aku meletak gagang kembali. Aku menyambung misi membawa makanan ringanku ke atas.

Setibanya aku di bilikku, aku meletakkan makananku di atas meja bersebelahan buku sekolahku. Aku duduk di atas kerusi dan menyelak ke muka surat yang kubaca tadi. Tiba-tiba telefon rumahku berbunyi sekali lagi, aku mengeluh sambil bangun dari kerusiku. Aku turun ke bawah. Sekali lagi aku mengangkat gagang, tetapi kali ini talian terus terputus. Aku meletak gagang dengan kasar. Aku memutuskan untuk menunggu, mungkin telefonku akan berdering lagi. Sambil menunggu, rumahku tiba-tiba terasa begitu sunyi. Bulu romaku meremang. Baru semalam aku menonton cerita seram bersama keluargaku. Aku mula membayangkan perkara yang bukan-bukan. “Kringggg!!!!!!” jantungku hampir terhenti mendengar deringan telefon rumahku! Aku menguatkan semangat dan menunggu untuk beberapa saat, perlahan-lahan aku mengangkat gagang. Aku hampir menjerit kegembiraan apabila aku mendengar suara abangku. Katanya dia hendak pergi ke kedai Seven-eleven yang berdekatan dengan rumahku dulu baru pulang ke rumah. Aku menghembus nafas tanda lega. “Kenapa call sampai tiga kali?” tanyaku padanya. “Eh, tak panggil pun tadi. Baru sekali.” jawab abangku. Jadi siapa yang memanggil tadi?

Liyana, 4B

Kita Mampu Mengubahnya

Malam ini malam hujung minggu, ayahku membawa kami sekeluarga ke sebuah restoran di tengah kota. Memang kebiasaan ayahku membawa kami keluar beramai-ramai jika berkesempatan. Katanya waktu inilah kami bersama-sama berkongsi cerita. Aku hanya menurut, sekurang-kurangnya aku berpeluang untuk makan di luar. Ini juga bermakna ibuku tidak perlu memasak dan aku juga tidak perlu mengupas bawang merah dan menangis seperti menonton filem sedih.

Ayahku memilih sebuah restoran yang terkenal dengan tomyamnya. Aku amat menyukai restoran ini. Restoran ini bertema Bali. Pokok-pokok hijau yang menjalar mencipta suasana yang nyaman. Kami memilih meja di luar yang terletak berdekatan dengan kolam ikan. Sambil kami menikmati makanan, deruan air dapat didengari dan sesekali terasa angin malam yang bertiupan.

Tetapi kami menikmati suasana tersebut hanya untuk beberapa minit kerana selepas itu kami hanya ‘menikmati’ asap rokok yang berkepul-kepul. Rupanya pemuda-pemuda yang duduk berdekatan meja kami sedang menghisap rokok. Asap mereka menghala tepat-tepat ke arah kami. Rasanya seperti menelan asap rokok apabila aku membuka mulutku. Hendak berpindah ke meja lain, kami sudah mula makan. Mahu tidak mahu kami habiskan makanan kami dengan cepat. Aku yang terkenal sebagai orang yang mengambil masa paling lama untuk menghabiskan makanan kini habis sewaktu dengan abang-abangku (satu pencapaian yang membanggakan!). Malangnya kami tidak dapat berbual-bual seperti biasa.

Pada pandanganku, dari segi undang-undang memang mereka tidak melakukan kesalahan. Tetapi bukankah Malaysia merupakan negara yang berbudi bahasa dan beretika? Atau adakah ini hanya sesuatu yang kita sebut-sebut tetapi tidak pernah diamalkan? Mereka patut menghormati orang lain di sekeliling mereka. Perlukah merokok pada waktu makan juga? Tidak bolehkah mereka tidak merokok untuk beberapa jam? Sebenarnya perkara seperti ini dapat dielakkan. Segalanya terletak kepada kesedaran kita sendiri. Kita mampu mengubahnya.

Liyana, 4B

Kaedah menangani ponteng sekolah

Ponteng sekolah adalah satu gejala negatif yang kian menular dalam kalangan pelajar kini. Hal in disebabkan oleh permasalahan disiplin anak-anak yang tidak dibendung dengan baik.

Pelbagai kaedah boleh diambil bagi memastikan gejala ini tidak begitu berleluasa. Di antaranya adalah dengan memilih rakan sebaya yang baik. Ini adalah kerana pada masa kini, rakan sebaya merupakan seseorang yang sangat berpengaruh dalam kehidupan seorang pelajar. Mereka lebih banyak meluangkan masa bersama-sama berbanding ibu bapa masing masing. Oleh itu, rakan sebaya amatlah berpengaruh dalam pembentukan tingkah laku seseorang pelajar.

Selain itu, gejala ponteng sekolah juga dapat ditangani jika pihak sekolah, ibu bapa serta pihak skolah memainkan peranan mereka dengan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah memberi didikan agama kepada anak-anak sejak kecik agar mereka mempunyai garis panduan hidup. Di sekolah, guru-guru seharusnya bijak mendidik dan menyemai perasaan cinta pada ilmu kepada murid-murid manakala pihak berkuasa pula hendaklah sentiasa memantau segala tindak-tanduk anak-anak muda bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini.

Nahtijahnya, langkah-langkah yang telah dicadangkan sepatutnya dipraktikkan agar gejala negatif ini dapat dibendung dengan sebaiknya. Semua pihak memainkan peranan penting supaya lahirlah generasi muda yang bakal memimpin negara dengan lebih berwawasan.

Deena Johari, 4B

Langkah mengatasi peragut

Ragut merupakan satu kes yang tidak asing lagi. Malah, jika dibiarkan makin lama kes ini makin berleluasa sehingga membahayakan nyawa rakyat jelata. Banyak langkah yang boleh diambil bagi mengatasi gejala yang tidak sihat ini.

Salah satu daripadanya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Dengan itu, peragut akan menjadi gentar sedikit jika hendak melakukan perkara yang salah disisi undang. Contohnya, jika peragut yang berjaya diberkas akan dikenakan hukuman yang berat seperti potong tangan.

Selain itu, masyarakat juga dilarang untuk membawa wang jumlah yang banyak dalam suatu masa. Ini bagi mengelakkan minat peragut untuk meragut. Sebagai contoh, peragut yang meragut akan menukar kerjanya kerana pekerjaan meragut tidak mendatangkan hasik yang lumayan.

Akhir sekali, sebagai masyarakat, kita perlulah bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membanteras jenayah. Kita juga boleh memberi sumbangan secara individu bagi memastikan jenayah ragut dapat dibasmi.

Deena Johari, 4B