Tuesday, February 10, 2009

Kepentingan Matematik

Matematik merupakan mata pelajaran penting dalam kurikulum sekolah-sekolah di negara kita. Mata pelajran ini mula diajarkan dari peringkat tadika hinggalah menengah. Malah di kolej dan universiti juga, matematik masih menjadi komponen penting dalam hampir kebanyakan kursus pengajian.

Penguasaan dalam ilmu ini menuntut seseorang itu memahami konsep-konsep pengiraan asasnya. Melalui pemahaman konsep, secara langsung melatih manusia untuk berfikir.

Selain itu, mata pelajaran ini juga memerlukan seseorang pelajar menghafaz segala rumus yang diperlukan sebagai jalan penyelesaian bagi masalah yang dikemukakan. Ini sekaligus mengasah bakat berfikir dalam diri seseorang individu. Untuk itu, seseorang yang ingin mahir harus membuat banyak latihan secara langsung.

Menerusi penguasaan matematik, pemikiran manusia akan menjadi semakin matang. Setiap masalah akan diselidik dari pelbagai sudut untuk mencari jalan penyelesaian.

Manusia yang berjaya di dunia ini adalah berkat penguasaan dalam bidang matematik. Penguasaan juga amat penting dalam mencipta alat-alat kelengkapan yang bakal digunakan untuk tujuan penyelidikan dan kajian yang berkaitan dengan pengiraan dan penyukatan.

Oleh itu, tanpa kebolehan dalam matematik, segala kejayaan tidak mungkin menjadi suatu kenyataan. Kesimpulannya, setiap individu harus menguasai matematik untuk terus hidup dengan lebih produktif dan bermakna.


- -Mus'ab, 4A

Sikap Berdikari

Sikap berdikari bererti kita tidak bergantung kepada orang lain atau mengharapkan pertolongan mereka sewaktu melakukan sesuatu. Sikap ini perlu ada pada setiap orang agar mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain dalam melaksanakan sesuatu kerja. Ini amat menyusahkan kerana kita terlalu mengharapkan orang lain sehingga hasilnya tidak begitu memuaskan.

Sikap berdikari akan membentuk sikap yang seimbang sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Kita akan sentiasa bersikap sedia bagi menghadapi sebarang risiko dan menangani masalah dengan sebaik mungkin.

Kita juga tidak teragak-agak untuk membuat pilihan. Ini kerana kita yakin terhadap kemampuan kita sendiri dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sikap ini akan menjadikan kita seorang yang kreatif serta berupaya menghasilkan kerja yang berkualiti. Kita akan sentiasa berfikir untuk menaik taraf hidup dan berusaha memperbaiki diri sendiri.

Kesimpulannya, sikap berdikari amat penting dalam diri setiap manusia untuk memantapkan diri dan menyediakan kekuatan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.


- -Mus'ab, 4A

Peranan Akhbar Kepada Masyarakat

Akhbar merupakan salah satu daripada alat media massa yang penting di negara kita sehingga diibaratkan sebagai "teman hidup" bagi sesetengah orang. Dengan kata lain, akhbar tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat kita.

Walaupun akhbar diterbitkan dalam pelbagai bahasa, namun peranannya sama, iaitu untuk memupuk perpaduan antara kaum. Aspek perpaduan nasional semakin ditekankan oleh pihak berkuasa selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Peristiwa rusuhan kaum itu tercetus akibat ketidakseimbangan kaum dalam bidang ekonomi. Justeru itu, setiap akhbar menyiarkan informasi yang berunsurkan perpaduan.

Selain itu, akhbar juga memainkan peranan yang penting dalam membina minda masyarakat. Sebagai media yang menyiarkan berita dan informasi semasa, akhbar menjadi lidah rakyat untuk menyuarakan sebarang kekurangan dan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, sesetengah akhbar juga menyiarkan ruangan bimbingan untuk pelajar yang ingin peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, dan SPM. Ruangan ini dapat membantu pelajar untuk belajar selain memupuk sifat membaca akhbar. Dengan itu, mereka dapat membaiki kelemahan dan penguasaan bahasa mereka.

Sebagai rumusannya, akhbar di negara kita memainkan peranan dalam membina masyarakat. Peranan inilah yang menjadi harapan masyarakat kita supaya menjadi proses memajukan negara tidak terjejas di samping menyelaraskan ke arah Wawasan 2020.


- -Mus'ab, 4A

Kepentingan Penguasaan Pelbagai Bahasa

Bahasa menjadi alat komunikasi antara manusia sejak dahulu lagi. Lantas terbitlah cogan kata seperti "Bahasa Menunjukkang Bangsa" yang bermaksud bahasa yang ditutur menunjukkan asal bangsanya itu sendiri. Namun congan kata ini sekarang tidak lagi benar kerana terdapat individu yang dapat menguasai beberapa bahasa asing.

Kebolehannya untuk menguasai beberapa bahasa menjadi suatu kelebihan yang tidak begitu disedari ramai. Umumnya, pandangan seseorang yang dapat menguasai bahasa lain lebih luas berbanding individu yang bertutur dalam satu bahasa sahaja.

Dengan penguasaan dalam beberapa bahasa, seseorang itu dapat mempelajari ilmu dalam pelbagai bidang. Menyedari hakikat itu, pihak kerajaan senantiasa menggalakkan pelajar di universiti khususnya mempelajari bahasa-bahasa asing.

Sesetengah pekerjaan seperti jurubahasa dan pemandu pelancong memerlukan pengetahuan dalam banyak bahasa. Tanpa kelebihan seperti ini, adalah sukar untuk menjalankan tugas mahupun bekerja dengan sempurna.

Seseorang yang dapat bertutur dalam beberapa bahasa asing berasa lebih yakin untuk bertutur. Apabila menghadiri majlis yang terdiri daripada pelbagai bangsa, sudah pasti dapat berinteraksi tanpa menghadapi masalah.

Jelaslah bahawa kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa ini amatlah penting, terutamanya apabila menghadapi pelbagai cabaran pada zaman kemajuan ini demi kepentingan diri, bangsa dan negara.



- -Mus'ab, 4A

Tuesday, December 30, 2008

Di Sebalik yang Tersembunyi

Bukit bakau tidak pernah kusangka mempunyai rahsianya. Di sebaliknya yang meninggi terbongkar rahsia yang selama ini sudah lama terpendam. Sekiranya dilihat sekali bukitnya kelihatan biasa namun sekiranya dilihat dari satu sudut segala yang tersembunyi menunjukkan diri.

Di sebalik bukit bakau yang menghijau itulah terbentangnya tikar lautan yang menyelimuti bumi. Kebiruannya bertemu dengan kehijauan pokok yang menari dalam satu rima memuji satu sama lain di dunia semulajadi.Di situlah terletaknya satu keajaiban alam yang tidak diketahui manusia. Alunan bayu cuba memberitahu namun tidak didengari telinga manusia. Dewi dari dunia kayangan turun menari-nari mencorak ombak yang pasang atau surut. Namun tidak pernah dilihat oleh mata manusia. Sayang sekali.

Bagaimana aku ketahui segala ini? Akulah pemerhati dunia. Aku melihat perkara yang tidak mampu dilihat manusia. Mereka sering berkejaran lalu tidak langsung mempunyai kesempatan untuk berhenti dan melihat pemberian Tuhan kepada mereka. Dengan itu aku terbang meninggalkan bukit tempat persembunyianku dan mencari makanan untuk mereka di sarang.

Amalina.

Wednesday, June 25, 2008

Malam


Apabila matahari menggelongsor di sore hari, segalanya berubah. Lampu di jalanan dan sinaran bulan menjadi pengganti suria. Mimpi dan khayalan menjadi realiti, bintang di langit bekerlipan menjadi permata selepas dibayangi matahari. Awan yang terapung menjadi bantal kepada malam, mengulit rakyat tidur lena tanpa risau.

Apabila matahari bersembunyi di sebalik gunung juga, hantu pontianak ke hulu-hilir di bangunan lama, sampah masyarakat bermundar-mandir di ceruk bandar, berkawan dengan tikus dan sampah. Mat rempit dan si pelumba haram bermaharajalela di jalan raya dan si pembunuh berselindung di sebalik bayang, menunggu mangsa yang dinanti-nanti.

Keajaiban malam menjadi satu misteri yang tidak dapat kita ketahui. Malam boleh menjadi indah, membawa kita ke dunia khayalan. Atau, malam misteri ini menyelubungkan ketakutan pada diri, seakan-akan segalanya merupakan hantu raksasa yang akan membaham bila-bila masa sahaja. Itulah keajaiban malam.

Amalina, 4C

Perubahan

Setiap hari kita membesar, sungguhpun perubahannya tidak ketara, langsung tidak dirasai. Tetapi, perubahannya terlihat sekian lama.

Dahulu kita hanya mampu merangkak, menangis sekiranya inginkan perhatian, seterusnya mengambil langkah pertama. Tanpa kita sedari, kita melambai kepada ibu bapa kita, menampakkan gigi yang tiada lagi pada hari pertama di tadika dan kemudian menangis pada hari pertama di sekolah rendah, kerana takut dibuli. Pejam celik pejam celik, aku berada di dalam kelas pendidikan islam, mendengar syarahan Ustaz Maceeda yang menyuntik semangat untuk mencintai islam.

Sejenak itu aku berfikir seketika. Sebentar lagi aku akan meninggalkan sekolah ini, pergi ke universiti, mula bekerja, mendirikan rumahtangga, mula berkedut, mempunyai cucu... Berapa pantas akan segala ini berlalu? Adakah malaikat maut berselindung di sebalik segala ini atau datang menjemput apabila segalanya berakhir?

Amalina, 4C