Wednesday, June 25, 2008

Malam


Apabila matahari menggelongsor di sore hari, segalanya berubah. Lampu di jalanan dan sinaran bulan menjadi pengganti suria. Mimpi dan khayalan menjadi realiti, bintang di langit bekerlipan menjadi permata selepas dibayangi matahari. Awan yang terapung menjadi bantal kepada malam, mengulit rakyat tidur lena tanpa risau.

Apabila matahari bersembunyi di sebalik gunung juga, hantu pontianak ke hulu-hilir di bangunan lama, sampah masyarakat bermundar-mandir di ceruk bandar, berkawan dengan tikus dan sampah. Mat rempit dan si pelumba haram bermaharajalela di jalan raya dan si pembunuh berselindung di sebalik bayang, menunggu mangsa yang dinanti-nanti.

Keajaiban malam menjadi satu misteri yang tidak dapat kita ketahui. Malam boleh menjadi indah, membawa kita ke dunia khayalan. Atau, malam misteri ini menyelubungkan ketakutan pada diri, seakan-akan segalanya merupakan hantu raksasa yang akan membaham bila-bila masa sahaja. Itulah keajaiban malam.

Amalina, 4C

Perubahan

Setiap hari kita membesar, sungguhpun perubahannya tidak ketara, langsung tidak dirasai. Tetapi, perubahannya terlihat sekian lama.

Dahulu kita hanya mampu merangkak, menangis sekiranya inginkan perhatian, seterusnya mengambil langkah pertama. Tanpa kita sedari, kita melambai kepada ibu bapa kita, menampakkan gigi yang tiada lagi pada hari pertama di tadika dan kemudian menangis pada hari pertama di sekolah rendah, kerana takut dibuli. Pejam celik pejam celik, aku berada di dalam kelas pendidikan islam, mendengar syarahan Ustaz Maceeda yang menyuntik semangat untuk mencintai islam.

Sejenak itu aku berfikir seketika. Sebentar lagi aku akan meninggalkan sekolah ini, pergi ke universiti, mula bekerja, mendirikan rumahtangga, mula berkedut, mempunyai cucu... Berapa pantas akan segala ini berlalu? Adakah malaikat maut berselindung di sebalik segala ini atau datang menjemput apabila segalanya berakhir?

Amalina, 4C